Tuesday, April 26, 2011

Wang Hantaran Mas Kahwin Palsu


Gambar ; Duit adalah aset yg bernilai.

Seorang mekanik dituduh di Mahkamah Sesyen atas dakwaan menggunakan wang palsu sebanyak RM8,000 sebagai wang hantaran mas kahwin kepada Axxxxi xxxxxx , 23. Tertuduh, Mohd. Axxx xxxxx, 37, berasal dari Taman Kinrara, Puchong, Selangor didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Kampung Kubang Batang, Wakaf Bharu, Tumpat kira-kira pukul 4 petang.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh telah menggunakan wang palsu RM8,000 iaitu not RM100 sebanyak 80 keping sebagai wang hantaran mas kahwin kepada Axxxxx. Dengan itu, tertuduh melakukan kesalahan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 489B Kanun Keseksaan, yang sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda. Tertuduh ditangkap pada malam 11 Disember lalu setelah pihak keluarga pengantin perempuan membuat laporan polis.
Mengikut laporan, penipuan itu disedari oleh bapa saudara pengantin perempuan ketika mengira wang hantaran selepas majlis akad nikah oleh imam Masjid Kubang Batang pada hari sama. Kejadian itu menyebabkan keluarga wanita berkenaan terkejut apabila mendapati semua wang kertas RM100 itu yang dimasukkan dalam sebuah album gambar hanya mempunyai cetakan bahagian hadapan, sementara belakangnya kertas putih.
Berikutan itu, satu laporan polis telah dibuat manakala imam masjid yang menikahkan pasangan berkenaan menghubungi Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) untuk mendapatkan pengesahan kedudukan perkahwinan tersebut.
Imam berkenaan kemudian dimaklumkan pernikahan pasangan itu adalah sah mengikut hukum syarak. Bagaimanapun, pengantin lelaki dianggap berhutang dengan pengantin perempuan.
=======================================

Setelah saya membaca berita ini saya menjadi agak bingung… saya tidak tahu sama ada hendak ketawa, menangis, tersenyum atau bersedih. Saya hanya mampu termenung panjang…
Apa yang sebenarnya berlaku?..Mengapa si bakal suami berbuat begitu? Tiada duit ke? Mengapa tidak berbincang sebelum perkahwinan? Adakah ia sudah berbincang tetapi tidak mendapat persetujuan keluarga bakal mertua? Bagaimana pula perasaan si isteri? Baru sahaja nikah tetapi si suami mungkin akan dipenjarakan? Apa pula perasaan kedua-dua buah keluarga? Malu? Marah? Kecewa?

Terlalu banyak tanda tanya di kepala saya… adakah semua ini berpunca daripada duit? Oleh itu, jadikanlah kisah di atas sebagai iktibar… usahlah melakukan perkara-perkara yang tidak wajar di dalam mencapai impian cinta anda, dan yang paling penting, usah biarkan duit menjadi penghalang mahligai perkahwinan anda.

P.S : Ura-ura yang didengar, sebenarnya, pengantin lelaki dan pengantin perempuan telah berpakat untuk menggunakan wang palsu tersebut. Tetapi nasib malang, usaha mereka itu telah di”kantoi”kan oleh bapa saudara pengantin perempuan

No comments:

Post a Comment